PWTC Kuala Lumpur -- Tabung Ehsan pelarian Afghanistan telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM 444,958,75 setakat hari ini . Sumbangan diperolehi daripada rakyat Malaysia dan Badan - badan Korporat .

Misi pertama bantuan kemanusiaan bagi membantu pelarian Afghanistan yang dilancarkan oleh Pergerakan Pemuda 3 Oktober lalu akan berlepas ke Peshawar pertengahan November ini. 
 
Ketua Penerangan pergerakan itu, Azimi Daim berkata seramai 16 orang wakil yang terdiri daripada sukarelawan dalam bidang perubatan dan beberapa ahli Pemuda UMNO akan terlibat dalam misi pertama itu. 
 
“Walaupun kita mempunyai ramai sukarelawan yang menawarkan diri namun bagi misi pertama ini kita akan hanya menghantar mereka yang benar-benar berupaya memberikan perkhidmatan di samping beberapa orang dari kalangan Pemuda yang bertindak sebagai penyelaras dalam misi tersebut. 
 
“Di samping 300 sukarelawan di kalangan orang awam yang telah menawarkan diri, pihak kita juga sudah mempunyai 175 sukarelawan di kalangan Pemuda Wilayah Persekutuan yang terdiri dari Pemuda Perkasa negeri itu yang bila-bila masa bersedia untuk dihantar ke sana”, katanya dalam satu sidang media sempena kejohanan golf yang akan dianjurkan Pemuda bagi mengisi tabung Pelarian Afghanistan di sini, hari ini. 
 
Azimi turut berkata bagi menyemarakkan lagi kutipan derma bagi tabung ini, pihak Sekretariat juga telah memohon kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mengadakan kutipan derma di tempat-tempat awam. 
 
Katanya lagi, kejohanan golf yang bakal diadakan nanti ini juga adalah salah satu usaha bagi mendapatkan sumbangan melalui riadah. 
 
Kejohanan golf yang dinamakan “Golf Untuk Keamanan” itu akan diadakan pada 29 Oktober ini bertempat di Kelab Golf Seri Selangor. 
 
Beliau berkata kejohanan yang berkonsepkan menderma sambil beriadah itu terbuka kepada umum yang berminat sama ada secara individu mahu pun berkumpulan. 
 
Bayaran penyertaan bagi kejohanan itu adalah seperti RM200.00 bagi individu, RM800.00 bagi berkumpulan manakala RM1500.00 bagi penyertaan korporat atau organisasi. 
 
“Adalah menjadi harapan agar kejohanan ini akan mendapat sokongan daripada seluruh rakyat di negara ini khususnya daripada tokoh-tokoh politik, kalangan ahli korporat dan individu-individu yang berminat bagi membantu mengisi tabung kemanusiaan ini. 
 
“Sesungguhnya kejayaan program ini memberi makna yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai tanda sokongan kepada rakan-rakan saudara seagama yang sedang mengalami kesukaran di bumi Afghanistan. Sumbangan dan sokongan rakyat kepada tabung ini sekaligus menunjukkan rasa simpati dan tanggungjawab kemanusiaan seluruh rakyat Malaysia”, katanya. 
 
Untuk sebarang maklumat mengenai kejohanan ini bolehlah menghubungi pihak Urusetia, Golf Untuk Kedamaian di alamat Event Partners Sdn. Bhd, No. 28 A Jalan Tengku Ampuan Zabedah A, Section 9/A, 40100 Shah Alam, Selangor atau telefon 603-55117860/55117864 atau faks di talian 603-55117619 (U.P : Encik Abdul Halem Hj Mat Som atau Encik Thorpe Ali). 
 
Atau menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Tabung Ehsan Afghan di alamat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tingkat 37, Menara Dato’ Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur atau telefon 03-40441199 atau faks di talian 03-40442199 (U.P : Encik Zulkifli Alwi atau Encik Azimi Daim). 
 
Kejohanan anjuran bersama dengan Event Partners Sdn. Bhd ini bertemakan “Golf Demi Persaudaraan Dan Kedamaian”.